Wednesday, May 13, 2009

CIRI-CIRI KRITIKAN

Oleh OTHMAN PUTEH
MEMAHAMI kritikan sastera merupakan hasil pentafsiran pembaca (pengkritik) terhadap karya sastera tertentu yang dihayatinya dengan teliti dan rapi. Pengkritik bertanggungjawab menghuraikan pengalaman pembacanya sesudah menghayati dan memahami sesuatu karya sastera. Tulisan kritikan sastera menampilkan pengalaman dan pengetahuan pengkritik yang berusaha secara objektik menghuraikan, mentafsir dan memperjelaskan nilai teks atau karya sastera. Pengkritik yang baik dan berwibawa, dalam usaha meletakkan nilai sesuatu karya itu, seharusnya mengetahui poetika pengarang. Apatah lagi, sastera dan kritikan sastera itu saling memerlukan dan saling melengkapi dalam upaya meningkatkan dan memartabatkan kesusasteran bangsa. Di Malaysia, terdapat enam ciri kritikan sastera iaitu sanjungan, terguran, saranan, pendekatan, penganalisisan, dan penilaian (STSPPP). Berikut ini, dibincangkan setiap satu ciri kritikan sastera itu.
1.Kritikan Sanjungan ISTILAH sanjungan bermaksud pernyataan rasa kagum atau senang terhadap orang lain. Jadi, kritikan sanjugan bermaksud memuji karya dan pengarangnya yang menyerlahkan pemikiran bernas, di samping menampilkan elemen dalaman karya yang baik dan menarik. Kritikan sastera berciri sanjungan ini ketara, seawal sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua dan selepas itu, terutamanya pada era pascaperang dan pra-ASAS '50. Pengkritik pada era tersebut terdiri daripada pengarang kreatif seperti Keris Melayu (Muhammad Yassin Maamor) dan Anak Negeri (Mohd. Yusof Ahmad). Kritikan mereka tertumpu pada Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang dan Hikayat Abdullah oleh Abdullah Munsyi. Kedua-dua buah karya itu merupakan ciptaan sastera yang penting, malah sebagai magnum opus atau karya agung. Kerus Melayu umpamanya, dalam tulisannya. "Tun Seri Lanang dan Abdullah Munsyi" (Majalah Guru, 1 Julai 1935) berusaha mengangkat atau menyanjung Sejarah Melayu kerana memberikan fokus kepada ketokohan, kebijaksanaan dan kepahlawanan watak-watak seperti Tun Perak, Bendahara Seri Maharaja dan Hang Tuan lima bersaudara. Watak-watak itu dikagumi dan disanjungi sebagai kebanggaan bangsa. Dari aspek gaya bahasa, Keris Melayu juga menyatakan bahawa "bahasa Melayu yang digunakan oleh Tun Seri Lanang asli, jelas serta sedap pula didengar kalau dibacakan" (Sejarah Kesusasteraan Melayu Jilid II, 1990: 402). Di samping berusaha mentafsir makna tersirat beberapa pantun dalam Sejarah Melayu, sikap memuji dan mengagumi hasil karya Tun Seri Lanang itu dibauri sentimen. Namun hal itu bukan aneh kerana ia sinambungan ciri tradisional masyarakat Melayu zaman-berzaman. Kritikan sanjungan ditujukan juga kepada pengarang kerana memiliki daya intelektual, ketajaman, dan kebernasan pemikiran. Abdullah Munsyi umpamanya diiktiraf pelopor atau Bapa Kesusasteraan Melayu Moden, terutama dilihat dari perspektif gaya bahasanya, iaitu penulisan berbentuk autobiografi yang bersifat kewartawanan.
2. Kritikan Teguran TEGURAN bermaksud mengkritik dan memberi peringatan secara ikhlas. Oleh itu kritikan teguran praktikal kerana pengkritik melaksanakan tulisannya dengan lebih berimbang -- menyatakan keistimewaan, kekuatan sesebuah teks dan serentak menunjukkan kekurangan. Tokoh terawal dan penting dalam kritikan teguran ialah Aminuddin Baki apabila beliau menulis artikel yang berjudul "Pandangan Seorang Penuntut Tinggi Kita Tentang Sebuah Buku Melayu" (Utusan Zaman, 12 Jun 1949). Aminuddin Baki melaksanakannya sewaktu mengulas novel Korban Kesucian oleh Keris Mas, terbitan Utusan Melayu. Antara lain beliau menegur. … plotnya yang dikatakan bergerak seperti aliran sungai yang tidak dapat menentukan letak kedudukan serta pendirian watak-watak … gaya bahasa Keris Mas yang terlalu dipengaruhi oleh bahasa Inggeris … (Sejaran Kesusasteraan Melayu Jilid II. 1990: 408) Yang agak ketara dalam kritikan Aminuddin Baki adalah sikap intelektualnya dan jika dibandingkan dengan kritikan Keris Melayu pada 1935 itu, ternyata beliau tidak dipengaruhi emosi dan sentimen serta tidak mengecam pengarang seperti kritikan Anak Negeri terhadap Abdullah Munsyi. Banyak sarjana setempat bersetuju dan mengklafikasikan kritikan Aminuddin Baki itu menepati konsep kritikan kesusasteraan. Malah, Wong Seng Tong menganggapnya Muhammad Yassin Maamor sebagai kritikan praktikal terbaik yang pernah dihasilkan. Daripada tulisan Aminuddin Baki itu, jagat kritikan tanah air memperoleh landasan yang lebih kukuh dan mantap setelah melalui suatu era yang agak sarat dengan tulisan kritikan yang ekstrem menyanjung atau mengecam.
3. Kritikan Saranan ISTILAH saranan bermakna anjuran atau sesuatu yang disarankan. Bagaimanapun, istilah ini membawa konotasi lain iaitu sebagai propaganda. Oleh itu, kritikan saranan merupakan kritikan yang cenderung menganjurkan sesuatu untuk memperbaiki kekurangan atau memantapkan lagi unsur-unsur yang membina sesebuah karya atau memberi alternatif dari sisi teknik umpamanya. Jelas, kritikan saranan mengalirkan nilai positif dan amat signifikan kepada khalayak pembaca, pengarang dan ujana kritikan sastera ;itu sendiri.
Kita menyedari betapa teks sastera itu bersifat subjektif sifatnya. Dalam melaksanakan kerja kritikan sastera pula pengkritikan sewajarnya bertindak secara objektif dan prihatin serta profesional. Dalam konteks ini, kritikan Aminuddin Baki terhadap novel Korban Kesucian, karya Keris Mas menepati kehendak atau konsep kritikan saranan. Malah, ketika menegur, Aminuddin Baki memberi saranan positif tentang unsur kreatif seperti gaya bahasa, plot, teknik, dan watak sserta perwatakan dalam karya Keris Mas. Kesemuanya itu dilaksanakan bertujuan untuk pembaikan bagi menghasilkan cereka novel yang berkesan, bermutu dan berjaya.
Kritikan saranan ini banyak dihasilkan oleh pengkritik di tanah air sehingga akhir abad ini. Ramli Isin, Abdullah Hussain, Kala Dewata, dan Hashim Awang pernah menghasilkan kritikan saranan ini dalam media cetak sejak tahun 1960-an, di samping memberi kritikan penilaian dan menerapkan pendekatan tertentu pula.
Kritikan saranan yang cenderung kepada propaganda agak dominan lantang dan jelas pada era kegemilangan ASAS '50. Ini berlaku kerana tercetusnya polemik dalam memperjuangkan falsafah berkarya antara konsep "Seni untuk Masyarakat" yang dipelopori oleh Asraf dengan konsep "Seni untuk Seni" yang dianuti oleh Hamzah.
Golongan "Seni untuk Masyarakat" mementingkan perutusan, pengajaran, dan berfungsi memberi kesedaran kepada masyarakat. Jelas bahawa fungsi sosial itu menjadi matlamat berkarya. Jika tidak, karya dianggap gagal. Hamzah dan pengikutnya tidak menyetujui konsep itu. Karya sastera seharusnya memiliki dwifungsi - menghibur dan mendidik. Faktor keindahan seharusnya tidak terabai untuk mengelakkan karya daripada terjerumus ke kekancah propaganda.
Polemik yang berkisar pada tahun 1950 - 1951 itu mencetuskan pergeseran yang seru dan hebat. Asraf dan pengikutnya dalam kelompok "Seni untuk Masyarakat" amat cenderung kepada sastera komited atau literature engage yang ada ketika itu popular di Perancis. Sementara di Indonesia pula, Lembaga Kebudayaan Rakyat (LEKRA) ditubuhkan dengan konsep seiras dengan "Seni untuk Masyarakat". malah, LEKRA lebih berani, lantang, dan agresif mengangkat karya sastera sebagai medium propaganda membentuk kehidupan rakyat yang menjurus kepada ideologi politik. Pada ghalibnya, kritikan saranan itu memperlihatkan nilai positif bagi memperbaiki dan memenatapkan karya pengarang selagi ia tidak mendorong atau memaksa sesuatu anutan kepada pengarang dan selagi ia bersikap terbuka tanpa sebarang kekangan yang membelenggu.

4. Kritikan Pendekatan PENDEKATAN bermakna suatu proses atau cara mendekati sesuatu. Ia merupakan usaha yang dirangka dalam aktiviti pengkajian ataupun kaedah untuk mencapai pengertian tentang masalah penelitian. Dalam bidang kritikan kesusasteraan, pertimbangan dan penilaian yang dilaksanakan pengkritik lazimnya menggunakan sesuatu aspek atau landas tinjauan yang tertentu. Landas atau dasar tinjauan itu mungkin merupakan ilmu atau teori tertentu pula.
Terdapat pelbagai pendekatan kritikan kesusasteraan yang berkembang di tanah air kita. Antara pendekatan itu adalah:
* Pendekatan intrinsik yang merupakan pendekatan terhadap karya sastera dengan menerapkan teori dan kaedah sastera yang penelitiannya berpremiskan karya sastera itu sendiri, terutamanya menelusuri unsur-unsur dalaman yang membina karya itu seperti plot, watak dan perwatakan, latar, sudut pandangan, dan gaya bahasa.
* Pendekatan ekstrinsik, iaitu pendekatan karya sastera dengan memanfaatkan ilmu bantu bukan sastera seperti sejarah, agama, psikologi, politik, dan sosiologi.
Pendekatan intrinsik dan ekstrinsik ini sering dikaitkan dengan pendekatan struktur atau pendekatan formalistik yang menilai aspek formal yang terungkap dalam sesebuah teks karya, termasuklah aspek tema. Pendekatan ini membicarakan bentuk dan isu secara dominan. Oleh itu, ia sering membincangkan bagaimana muatan cerita atau isi dihantar dalam satu bentuk yang indah (berestetika) dan berkesan.
* Pendekatan moral, yang merupakan penelitian terhadap nilai-nilai moral dan agama. Justeru itu, kajian ini terfokus kepada perilaku watak yang ditampilkan pengarang.
* Pendekatan psikologi yang dikenali juga sebagai pendekatan kemanusiaan. Pendekatan psikologi memperkatakan empat aspek yang saling berkaitan dan melibatkan pengarang, watak dan pengguna (pembaca). Empat aspek yang difokuskan dalam pendekatan psikologi ialah: i. Pengalaman kehidupan peribadi pengarang dan gejolak jiwa yang ada perkaitan dengan sejarah hayat pengarang. ii. Proses penulisan teks karya itu yang melalui pelbagai proses, bermula daripada mencari idea atau persediaan, pengeraman; iluminasi dan verifikasi. Proses penciptaan itu, tidak sahaja berkaitan dengan proses dalaman malah proses luaran. Justeru, tentulah banyak konflik, tekanan, hambatan dan fenomena yang timbul dalam proses penulisan itu. iii. Perilaku zahir batin watak dalam karya. Bermakna kritikan psikologi akan menelusuri perwatakan protagonis dan antagonis dalam menghadapi pelbagai persoalan, konflik, dan cabaran serta bagaimana mereka memantaunya. iv. Impak karya sastera itu terhadap pembaca. Ia tentu sahaja diasosiasikan dengan emosi atau psikologi dan rasional hasil daripada tanggapan serta pengalaman pengguna.
*Pendekatan sosiologi yang cenderung memberi tumpuan perbincangan kepada tiga jurus yang berkaitan dengan individu pengarang, konteks atau masyarakat di persekitaran hidup pengarang.
* Pendekatan arkitaip ataupun tipa induk. Memanfaatkan pendekatan ini bermakna pengkritik membincangkan kepercayaan atau pegangan hidup umum sesebuah masyarakat atau etnik. Ia bagaikan suatu liet motif yang sering dikaitkan dengan adat istiadat, kepercayaan, mitos yang berulang-ulang yang terdapat dalam teks sastera.
Wujudnya pelbagai pendekatan ini memungkinkan teks sastera dalam apa-apa genre sekali pun dikaji daripada beberapa aspek dengan lebih bervariasi, lebih wajar dan memudahkan difahami pengguna. Untuk memungkinkan pemahaman yang lebih berkesan, disarankan pembaca meneliti tulisan kritikan pelbagai pendekatan ini dengan membaca buku Novel-novel Malaysia dalam Kritikan (DBP: 1982) selenggaraan Hamzah Hamdani. Sementara itu, bagi memperdalamkan pemahaman secara praktis, maka senarai bibliografi dalam siri artikel ini amat membantu.
5. Kritikan Penganalisisan Penganalisisan bermakna menyelidik sesuatu karya untuk mengetahui keadaan yang sebenarnya, termasuklah menentukan kedudukan, prestasi atau pencapaian. Dalam konteks ini, apabila seseorang pengkaji atau pengkritik melakukan penelitian terhadap sesuatu genre sastera, maka bererti peneliti itu sedang melaksanakan kerja penghuraian atau penganalisisan. Ketika menganalisis pengkritik melihat sesuatu aspek secara rinci dan atau mendalam tentang bahasa figuratif, permulaan dan pengakhiran sesebuah cereka, motif, citra, watak, pemikiran, perlambangan, nilai, sudut pandangan, aliran dan ideologi yang menyerlah dalam karya sastera. Pendekatan ini juga boleh dilaksanakan dengan melihat teknik penulisan sesebuah teks daripada genre tertentu ataupun meninjau kepengarangan seseorang pengarang mapan/generasi baru dan meneliti kecenderungan karya konvensional serta karya eksperimental. Kerja penganalisisan itu memanfaatkan pendekatan ilmiah dengan menggunakan ilmu atau teori tertentu bagi mencapai matlamat analisis itu. Kritikan penganalisisan menuntut pengkritik menguasai bidangnya, menguasai teori yang ingin diaplikasikan, dan memiliki ilmu bantu yang relevan mantap agar analisis yang dilakukannya benar-benar menepati dan mencapai matlamat atau konsep pendekatan yang dipilih.
6. Kritikan Penilaian Penilaian bermakna melakukan pemberian nilai tertentu kepada sesuatu teks sastera yang menyangkut tentang mutu. Antara tugas penting yang harus dilaksanakan pengkritik yang menerapkan kritikan penilaian adalah menentukan sesuatu teks karya sastera itu bermutu atau tidak, mempunyai kekuatan atau keistimewaan atau sebaliknya. Pengkritik harus bijaksana, adil dan saksama serta memberikan hujah yang relevan dan konkrit sebelum memberikan justifikasinya. Justeru itu, pengkritik dituntut mengetahui dan memahami banyak aspek tentang pengarang yang menghasilkan karya, subjek yang dibincangkan, persekitaran, ras dan waktu yang dipaparkan. Pengkritik tidak boleh bersikap bias, emosional dan memihak. Sebaik-baiknya, apatah lagi bagi membuktikan kewibawaannya, pengkritik harus jujur dengan menunjukkan kekuatan karya @ pengarang dan sekiranya ada kekurangan, maka wajarlah dikemukakan saranan. Di tanah air kita, beberapa orang pengkritik yang melaksanakan tugasnya dengan baik dan penuh hemah ialah Mohd. Yusof Hassan, Yahaya Ismail, Hashim Awang, Ramli Isin, dan Shahnon Ahmad. Sementara Mana Sikana, Kassim Ahmad, Mohd. Affandi Hassan agak lantang, berani akan tetapi tetap berada rel ilmu yang diyakini.

KRITIKAN sastera merangkumi tiga aktiviti yang berikut:
· Berkaitan dengan tulisan kritikan deskriptif yang menilai multigenre hasil karya sastera yang diterbitkan. · Berhubungan dengan tulisan kritikan legislatif yang menekankan pelbagai peraturan, kaedah,dan langgam penulisan yang baik, betul,dan bermutu. · Segala bentuk tulisan kritikan teori dalam usaha memperoleh sesuatu teori sastera. Bidang kritikan sastera berkembang cukup jimbam, masih remaja, akar tradisi tidak mantap, dan tidak banyak penulis yang memasukinya secara bertanggungjawab. Pernyataan ini menunjukkan bahawa penulisan kreatif terkedepan berbanding dengan penulisan kritikan sastera.
Walaupun begitu kritikan sastera amat diperlukan, demi kesempurnaan hasil karya sastera. Kegiatan kritikan sastera yang jimbam itu bagaimana pun tetap menyumbang ke arah kemantapan dan kematangan walaupun bermusim.
Kritikan sastera merupakan cabang dan disiplin sastera yang mewujudkan analisis, pentafsiran dan penilaian terhadap sesuatu wacana sastera. Dengan kata lain, kritikan sastera merupakan usaha murni untuk mempertimbangkan dan menilai karya sastera secara jujur dan ceria. Oleh itu kritikan harus dilaksanakan dengan menerapkan kaedah yang tertentu dan bersistematik.
Menyedari hakikat dan fungsi kritikan sastera menganalisis, mentafsir dan menilai sesuatu karya, maka ketiga-tiga fungsi yang disenaraikan di atas wajar mempertimbangkan baik-buruk, kuat-lemah, dan keistimewaan-kekurangan sesuatu karya. Pertimbangan yang saksama harus ditunjangi dengan alasan yang kukuh dan munasabah.
Secara dasarnya, kritikan sastera dilaksanakan secara internal dan eksternal. Kajian secara internal bermakna menganalisis teks dengan meneliti hal strukturnya, diksi, makna cerita, dan kemungkinan ketaksaan atau ambiguiti. Sementara itu kritikan secara eksternal menekankan konteks atau dominasi kepada faktor di luar teks. Justeru itu, kritikan dihubungkaitkan dengan pengarangnya (pendidikan, profesion, ideologi, kepercayaan beragama, budaya, dan aliran), era tertentu, dan pengaruh persekitaran.
Mengkritik karya sastera tidak mudah. Karya sastera bersifat subjektif, sedang pengkritik bersifat objektif. Untuk menyatakan sesuatu karya sastera itu baik atau buruk, haruslah dimanfaatkan kriteria yang objektif dan memiliki ketrampilan tertentu untuk mengungkap kembali pengalaman estetik karya yang ditelaah.
Kritikan sastera adalah disiplin ilmu. Sebagai disiplin ilmu, aktiviti kritikan sastera ada matlamat. Yang ketara, antara pencipta (pengarang) karya sastera dengan pengkritik (dikenali juga sebagai kritikus atau kritikawan) sastera, wujud situasi yang tidak seimbang, malah semacam wujud jurang. Bagaimanapun, kritikan sastera memiliki tujuan yang pelbagai dalam usaha memajukan kesusasteraan.
Kritikan sastera membantu khalayak pembaca memahami sesuatu karya sastera, di samping mentafsirkan dan menilai karya. Penilaian tentang berjaya atau tidak karya sastera harus dibuktikan secara objektif -- di mana dan mengapa karya itu kuat atau gagal. Dengan hujah yang tepat dan konkrit, maka pembaca akan maklum kebaikan atau kekurangan karya itu.
Sasaran kritikan sastera bukan sahaja pembaca tertentu malah pengarang (lebih-lebih lagi pengarang baru) dan masyarakat/peminat sastera. Dengan adanya kritikan sastera, maka terhindar jurang pemisah antara teks sastera dengan pembaca, atau antara penikmat sastera dengan pengarang. Kesemua ini berfungsi mengelakkan kerancuan dan memungkinkan karya sastera lebih mudah dimasyarakatkan. Jelaslah, betapa kritikan sastera amat diperlukan; mempunyai signifikan bagi menentukan kelangsungan jalur perkembangan sastera.
Untuk lebih rinci, Hashim Awang (1984: 80) menyenaraikan sembilan fungsi kritikan sastera seperti yang berikut ini: · Menyumbang dan mengembangkan pengetahuan. · Memberi bantuan besar kepada pembaca menikmati karya sastera dengan menerangkan tentang teks sastera dan pengarangnya dengan jelas. · Membezakan antara teks sastera yang baik dengan teks sastera yang tidak baik. · Menolong pengarang mendidik masyarakat setelah pengarang mengetahui kegemaran dan kemahuan pembaca, iaitu jenis atau bentuk karya sastera yang mereka minati dan ingin. · Memberi keterangan kepada pengarang cara menyesuaikan karya sasteranya dengan pembaca. · Memberi perangsang di samping mendidik orang ramai supaya giat membaca. · Menghapuskan prasangka buruk terhadap karya sastera dan juga kesusasteraan. · Memperkenalkan karya sastera yang baru kepada mereka yang tidak sempat membaca. · Memperbetul salah faham yang timbul antara pengarang dengan pembaca dan menjadi seperti pihak yang menyelesaikan masalah.
Untuk lebih memahami fungsi atau matlamat kritikan sastera itu, dapat kita telusuri beberapa buah buku yang berkaitan; · Novel-novel Malaysia dalam Kritikan (DBP: 1982) selenggaraan Hamzah Hamdani, termuat 28 tulisan kritikan sastera, menganalisis, mentafsir dan menilai novel Melayu yang terpenting dengan menelitinya daripada multiaspek dan memanfaatkan multipendekatan antara lainnya seperti formalistik, sosiologi, psikologi, tipainduk, dan perlembagaan. · Riak dan Gelombang Sastera Melayu: Kumpulan Esei/Kritikan Ramli Isin (DBP: 1987) selenggaraan Othman Puteh yang memuatkan enam kritikan sastera yang dilihat daripada perspektif sosiologi terhadap antologi cerpen Destini, novel Ombak Bukan Biru, Seluang Menodak Baung dan puisi Warna Maya. · Penciptaan dan Kemanusiaan dalam Cerpen dan Novel (PFB: 1998) karya Hashim Awang yang membicarakan karya Shaharom Hussain, Abdullah Hussain, A. Samad Ismail, Arena Wati, dan Usman Awang daripada pelbagai aspek dan pendekatan. · Pengisian Dunia Sastera (DBP: 1995) oleh Othman Puteh yang menelaah genre cerpen dan novel, antaranya Langit Petang A. Samad Said, Saga dan Warisan karya Abdul Talib Mohd. Hassan, Warna Sebuah Lembah karya Osman Ayub, Empangan karya Zakaria Ali, Tikus Rahmat karya Hassan Ibrahim, dan Perlumbaan Kedua karya Marwilis Haji Yusoff. Secara tidak formal dikatakan kritikan sastera bermula pada tahun 1930-an. Menurut kajian Hashim Awang (1988: 102-103) ini tahap pertama bagi mengisi era dari tahun 1930-an hingga tercetusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1941, dikenal sebagai Era Sebelum Perang Dunia II. Pada era ini, kritikan sastera dikatakan baru membentuk tradisinya sejajar dengan perkembangan cerpen yang pesat dalam media cetak. Sesuai dengan bentuknya yang baru lahir dan terlaksana tidak secara serius, maka kritikan itu dipenuhi penilaian yang dangkal, agak emosional (tanpa pendekatan yang tertentu), dan agak subjektif. Antara tulisan kritikan sastera itu ialah "Tun Seri Lanang dan Munsyi Abdullah" oleh Keris Melayu (Majalah Guru, 1 Julai 1935); "Kita dengan Munsyi Abdullah," oleh Mohd. Yusof Ahmad (Majlis, 22 Ogos 1935) dan "Anak Negeri dengan Musnyi Abdullah" oleh Kabha (Majlis, 2 September 1935). Wong Seng Tong yang mengkaji "Kritikan Sastera dalam Kesusasteraan Melayu Moden 1935-1955" (Universiti Malaya: 1977) menyatakan bahawa tulisan kritikan sastera itu adalah: Segala pandangan, fikiran, cita-cita dan perasaan yang ada kena-mengena dengan seni sastera Melayu serta reaksi-reaksi terhadapnya yang hampir-hampir keseluruhannya dimanifestasikan melalui berbagai-bagai makalah sastera yang termuat dalam berbagai jenis majalah dan surat khabar Melayu.
Pernyataan ini, bagi Rahman Shaari menandakan betapa Wong Seng Tong beranggapan tulisan tersebut bukanlah kritikan sastera yang sebenarnya (1994: 2). Hal ini wajar kerana pengkritik sastera pada era itu terdiri daripada guru dan wartawan yang tidak terdedah kepada pendidikan Barat. Apatah lagi tradisi kritikan sastera itu bukanlah hak milik bangsa kita, sebaliknya merupakan sebahagian daripada tradisi Barat.
Kritikan sastera secara formal, lebih moden, dan tepat menyerlah pada era pasca Perang Dunia Kedua iaitu pada tahun 1950-an yang dipelopori oleh Angkatan Sastera 50 (ASAS 50). Hal ini dimulai oleh tulisan Aminuddin Baki yang bertajuk "Pandangan Seorang Penuntut Tinggi Tentang Sebuah Buku Melayu" yang mengkritik novel Keris Mas berjudul Korban Kesucian (1949), yang tersiar dalam Utusan Zaman 12 Jun 1949.
Menurut Wong Seng Tong: Makalah Aminuddin Baki adalah satu-satunya tulisan kritikan praktis (practical criticism) yang amat baik - diusahakan untuk memperkatakan satu-satu karya sastera, dengan sengaja, dengan langsung dan sedar, bukan untuk membicarakan sesuatu di luar latar sastera.
(Rahman Shaari, 994: 2)
Kritikan Aminuddin Baki itu menekankan dua sisi penting yang membangunkan karya sastera novel Korban Kesucian, iaitu isi dan teknik (bentuk). Kritikan yang menerapkan pendekatan formalistik itu menyerlahkan indeks menarik, ilmiah, dan kritis walaupun kurang mendalam. Aminuddin Baki yang memiliki pengetahuan menulis kritikan sastera tidak meneruskannya dan berhenti di situ sahaja. Pengkritik lain pun tidak berusaha melanjutkannya. Bagaimanapun, polemik di kalangan anggota ASAS 50, khususnya antara Asraf dengan Hamzah, serta beberapa penulis lain merancakkan, memperjelas, dan memantapkan lagi dunia kritikan sastera. Tulisan Asraf dan Hamzah agak bersifat teoritis. Asraf, umpamanya, begitu yakin dengan konsep "Seni untuk Masyarakat" yang menjadi slogan/ perjuangan/ ASAS 50 . Dalam tulisannya "Mencari Pembaharuan dalam Kesusasteraan Melayu" (Mastika, Mei 1950), Asraf menyatakan: Hanya falsafah yang berurat tunjang atas dasar rakyat yang dapat diakui sebagai falsafah yang membangun. Falsafah inilah yang harus ada pada sasterawan kita dalam mengadakan pembaharuan dalam seni sastera Melayu.
Sementara itu Hamzah, dalam tulisannya melandasi fikirannya dengan konsep "Seni untuk Seni". Hamzah ternyata amat mengutamakan bentuk @ teknik di samping isi. Menurut Hamzah: Sastera mempunyai bentuk, bentuk itu mengambil rupa sajak, cerita pendek, rencana dan lain-lainnya. Apabila mempunyai bentuk, bentuk itu berkehendakkan atau berhajat pada irama. Umpamanya irama sajak karangan yang romantik berlainan pada irama cerita-cerita realisme dan lain-lain lagi.
Tokoh-tokoh ASAS 50 menghasilkan 501 buah esei kritikan sastera, dan hampir 75 peratus daripadanya mempersoalkan fungsi seni sastera dan sedikit tentang perubahan, pembaharuan, dan arah perkembangan sastera Melayu masa hadapan. Terbukti bahawa Hamzah tidak mempunyai pengikut yang mantap, oleh sebab itu tulisannya yang membincangkan soal estetika tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Hamzah keluar daripada ASAS 50 tetapi gagal membentuk generasi yang memperjuangkan konsep "Seni untuk Seni". Daripada hakikat yang tersebut, semacam ada peminggiran terhadap Hamzah dan kritikan teori yang mengutamakan soal keindahan sastera. Ini merupakan tragedi dalam jagat kritikan tanah air. Bagaimanapun, harus disedari, sekadar mencuplik pendapat Rahman Shaari (1994: 4) bahawa "perbincangan dalam tahun 1950-an tentang konsep-konsep ini tidak memuaskan kerana masing-masing tidak bersedia dengan ilmu bantu yang secukupnya." Apatah lagi, kadang-kadang tulisan mereka berbaur emosi, dan peribadi sifatnya. Bagaimanapun, itulah senario kritikan sastera Melayu hingga menjelang kemerdekaan tanah air.
Rujukan Hashim Awang. 1984. Kesusasteraan Melayu dalam Kritikan dan Sejarah. Petaling Jaya: Fajar Bakti. Hashim Awang. 1984. Teman Pelajar Kesusasteraan. Petaling Jaya: Fajar Bakti. Hashim Awang. 1988. Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hashim Awang. 1998. Penciptaan dan Kemanusiaan dalam Cerpen dan Novel. Shah Alam: Fajar Bakti. Hamzah Hamdani (peny.) 1982. Novel-novel Malaysia dalam Kritikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mana Sikana (peny.) 1988. Kritikan Sastera: Masalah dan Peningkatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Othman Puteh. 1995. Pengisian Dunia Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Othman Puteh (Peny.) 1987. Riak dan Gelombang Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Rahman Shaari. 1994. Kritikan Sastera Melayu: Pendekatan dan Pemikiran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 1982. Warisan Asas 50. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
JIKA Asraf dikenali sebagai pengkritik yang begitu yakin diri memperjuangkan konsep "Seni untuk Masyarakat" pada era Asas 50, maka Hamzah merupakan tokoh yang berada di pihak lain dan mempelopori perjuangan menegakkan kosenp "Seni untuk Seni". Kedua-dua tokoh Asas 50 ini berada di dua kutub yang berlainan dan secara tidak langsung merancakkan jagat kesusasteraan Melayu dengan tulisan-tulisan kritikan atau polemik mereka yang agak berlarut-larut juga. Hamzah @ nama sebenarnya Hamzah Abdul Majid bin Hussin adalah anak kepada seorang penerbit, penjual buku dan pencipta syair, berasal dari Singapura, lahir pada 27 Julai 1927. Beliau memperoleh pendidikan di sekolah Melayu, Sekolah Inggeris di Victoria hingga tamat darjah lapan, dan pada zaman Jepun beliau terdidik dan Sekolah Agama Darul Ma'arif al-Islamiah. Berdasarkan latar pendidikan itu, Hamzah memiliki pengetahuan agama yang kuat juga.
Pengalaman kerjayanya amat luas dan rencam. Umpamanya, beliau pernah bekerja dengan surat khabar Melayu Raya dan menjadi pemimpin majalah Filem Raya, di samping ikut terlibat dengan penerbit Harmy dan Royal. Pernah menjadi anggota redaksi untuk majalah dan surat khabar seperti Hiboran dan Fashion, di samping memberi sumbangan tulisan untuk media cetak lain seperti Mutiara, Mastika, Belia, Kisah, Utusan Zaman dan Bintang. Di majalah dan surat khabar tersebut Hamzah banyak menghasilkan karya sastera seperti cerpen dan esei kritikan.
Minatnya juga cukup besar dalam bidang perfileman. Begitu berhenti dari Melayu Raya Press pada 1953, beliau bertugas dengan Syarikat Filem Cathay Keris sebagai pegawai penerangan. Di sinilah beliau banyak menghasilkan skenario filem.
Kira-kira 17 tahun kemudian atau dalam tahun 1972 beliau berpindah ke Kuala Lumpur untuk bertugas dengan Perusahaan Filem Sari Artis, dan kemudian dengan Citra Filem sebagai pengarah eksekutifnya. Hamzah pernah menjadi Karyawan Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menghasilkan memoir @ autobiografinya dalam lapangan perfileman dan kesusasteraan pada pertengahan dekad 1990-an.
Sesungguhnya latar kehidupan Hamzah berwarna-warni dan menarik. Hamzah memiliki horizon pembacaan yang relatif luas dan mencakupi karya-karya dari Indonesia dan Barat. Malah beliau amat senang dengan karya-karya Ernest Hemingway dan pengarang wanita Pearl S. Buck.
Hamzah, sebenarnya, merupakan pengasas Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) dan menjadi Setiausaha yang pertama sewaktu penubuhannya pada 6 Ogos 1950, di Henderson Road, Singapura. Tegasnya, Hamzah seorang daripada orang kuat dan tenaga penggerak ASAS 50 sebelum terlibat dalam polemik tentang konsep seni. Bagaimanapun, pergolakan yang tercetus di tanah air pada ketika itu dengan gerakan politik yang kurang disenanginya, apatah lagi dengan ideologi yang tidak secocok dengan jiwanya, akhirnya menimbulkan polemik yang hebat dan rancak antara Hamzah dengan Asraf, terutama dalam tahun 1951-1953.
Polemik yang berterusan itu yang dibauri dengan hal-hal yang saling bertentangan dengan fahaman dan sikap peribadinya, akhirnya Hamzah menarik diri, keluar daripada ASAS 50 dengan beberapa orang pengarang lain. Mereka, kemudiannya, menubuhkan Persatuan Angkatan Persuratan Melayu Baru pada 17 April 1954, tetapi persatuan altelrnatif yang memperjuangkan konsep "Seni untuk Seni" itu tidak punya hayat yang panjang untuk bertahan.
Konsep atau gagasan "Seni untuk Masyarakat" cenderung membela rakyat kelas bawahan dan sebagai sastera komited. Pengarah @ ideologi politik kiri yang menyerap ke dalam ASAS 50 menyebabkan Hamzah diterpa kecurigaan dan menimbulkan semangat ingin memberontak. Justeru itu, hasil daripada kebangkitan itu lahirlah "Seni untuk Seni" sebagai suatu pernyataan protes Hamzah terhadap "Seni untuk Masyarakat."
Di Barat, penganut aliran "Seni untuk Seni" mempunyai multi definisi. Lazimnya mereka dikatakan sebagai anti-sosial dan individualistik. Bagaimanapun, suatu hakikat tidak dapat dimungkiri betapa konsep "Seni untuk Seni" itu merupakan satu aliran baru dalam ujana kesusasteraan Melayu pada ketika itu. Cuma malangnya konsep itu tidak dapat bertahan lama justeru Persatuan Angkatan Persuratan Melayu Baru tidak dapat hidup lama.
Dalam usaha dan upaya Hamzah memperkenalkan konsep seninya itu, banyak sekali kupasan tentang pemikiran tersebut untuk menghujah kembali dapat @ dakwaan Asraf. Hamzah berusaha memperjelaskan konsep yang diyakininya akan tetapi gagasan estetika @ keindahan yang diyakininya tidak berupaya dihantar dengan jelas. Hal ini terjadi ada kaitan dengan kemudahan sarana dan ruang takdir sejarah kurang memihak kepada mereka, apakah lagi negara kita masih dijajah!
Dalam "Prakata" kumpulan cerpen Hamzah Hussain Pagar Bukan Penjara (1996) A. Aziz Deraman menyatakan
"Polemik "Seni untuk Seni" dan "Seni untuk Masyarakat" yang hangat itu menghidupkan suasana dunia kesusasteraan Melayu, sesungguhnya merupakan suatu hikmah, malah sebagai aset yang bernilai dalam khazanah kesusasteraan itu sendiri. Ia harus dilihat dan ditelusuri secara positif dan penuh dengan keterbukaan sikap bagaimana pejuang-pejuang bahasa dan kesusasteraan pada era tersebut memperjuangkan keyakinan diri dan tenaga fikir mereka dalam usaha dan upaya mengangkat martabat dan maruah kesusasteraan Melayu."
Dari polemik Hamzah-Asraf itu dapat ditelusuri betapa antara lainnya membicangkan tujuan kesusasteraan dan hubungannya dengan masyarakat @ manusia. Hamzah sendiri mempunyai tanggapan betapa sastera bukan senjata perjuangan. Sebaliknya ia merupakan satu kaedah bagaimana sesuatu bangsa itu melipahkan apa yang terletak di dalam benaknya dengan tulisan. Dengan kata-kata lain hasil karya sastera dicipta kerana tekanan jiwa pengarangnya dan sewajarnya pula memiliki nilai keindahan. Berbanding dengan Asraf yang menekankan betapa pengarang harus menggambarkan hidup rakyat dan menyatakan hasrat dan keinginan rakyat dalam bentuk cereka yang mengandungi mutu kesenian yang tinggi. Dari sini kita melihat Asraf tidak sama sekali menafikan kehadiran nilai keindahan dalam karya tetapi lebih mementingkan sastera sebagai alat masyarakat.
Hamzah merupakah seorang daripada pengarang yang prolifik dalam dekad 1940-an terakhir dan pada dekad 1950-an, karya pertamanya ialah genre cerpen (cerpendek) yang berjudul "Pengkhianat Bangsa" (Hiburan, 1 Januari 1947). Genre cerpen yang dihasilkan pada era awal penglibatannya dalam ujana penulisan lebih bersifat kembara. Karya-karyanya banyak mengisi ruang sastera majalah dan surat khabar seperti Puteri Melayu, Ibu Melayu, Kencana, Hiburan, Mastika, Bintang, Fesyen, Mutiara dan Utusan Zaman. Keproduktifan Hamzah mengarang cerpen pada awal dekad 1950-an semakin menyerlah apabila pembaca-pembaca majalah Mutiara memilihnya sebagai "Pengarang Pujian" untuk dua tahun berturutan.
Hamzah juga terkenal sebagai novelis. Antara karya novelnya yang wajar disenaraikan ialah Cinta dan Perjuangan atau Tarikh Berlari Liar (1949), Di Mana Terbitnya Si Matahari (1950), Rumah Itu Dunia Aku (1951), Pemburu Pulang ke Rumahnya (1952), Hujan Air Mata (1958), Samseng(1956), Rumah Kosong (1956).
Dari perbincangan ini, dapat dirumuskan betapa Hamzah sebagai pengarang ASAS 50; ingin membawa perubahan dalam berkarya, terutama apabila beliau menyaksikan adas sesuatu yang kurang disenangi melanda institusi itu. Lantas Hamzah mahukan kebebasan dalam berkarya - freedom of expression - dan untuk itu Hamzah menegaskan:
"… orang yang mengatakan bahawa aliran kesusasteraan mengikut lunas yang suatu sahaja maka anggaplah itu sebagai insan yang tidak percaya adanya perubahan yang dibawa zaman … di dalam hal fahaman saya , "Seni untuk Seni" saya menjawab dengan ringkas: "Seni untuk Masyarakat" kedua-duanya sastera, kedua-duanya mungkin berjasa (Hiboran, 30 Disember 1950: 22)
Sesungguhnya pula polemik antara dua orang tokoh pengkritik/pengarang ASAS 50, Hamzah-Asraf itu adalah sesuatu yang wajar dan sering tercetus dalam ujana kesusasteraan. Cuma kelahiran konsep "Seni untuk Seni" di tanah air kita agak berlainan dengan apa yang terjadi di Barat, Indonesia, dan Filipina. Di tanah air kita, kelahirannya lebih peribadi sifatnya dan bukan sangat sebagai satu perjuangan tentang konsep kesusasteraan itu sendiri. Jadi, baik Hamzah mahupun Asraf, masing-masing ikut menyumbang pada kehidupan kesusasteraan sesuai dengan pemikiran dan keyakinan pegangan mereka. Sumbangan itu pasti sahaja ada signifikan dan relevannya.
Rujukan:
Athi Sivan Mariappan. 1997. Hamzah Hussin: Sekitar Pemikiran Seni untuk Seni. Bagi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Othman Puteh (peny.). 1996. Pagar Bukan Penjara: Kumpulan Cerpen 1947-1968 Hamzah Hussain.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahman Shaari: 1994. Kritikan Sastera Melayu: Pendekatan dan Pemikiran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kritik Sastera di Malaysia. Kuala Lumpur: Kementerian, Belia dan Sukan. 1982. Warisan Asas 50. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 1988. Wajah Biografi Penulis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

SMK KUALA BESUT

SMK BUKIT PAYONG