Monday, July 02, 2012

PUISI MODEN TEKS PERMATA SASTERA MELAYU STPM

PERTEMUAN DI HYDE PARK

Adi Badiozaman Tuah

Bila berdiri di antara pepohon rimbun
di Hyde Park
aku teringat sebidang tanah luas pemberian
ayah di kampung
betapa sebelumnya ia adalah tanah hutan dara
setelah ditebang pokok dan dibersihkan semak
kemudian dibiarkan kering dan dibakar
dan setelah berkali-kali ditanam padi
menjadi huma bukit milik keluarga.

Atas munggu itulah aku selalu berdiri
bersama ayah
sama ada ketika padi membesar
atau semasa menghalau burung pipit
atau membaiki langkau dan tempat jemuran padi
atau saja-saja santai antara panggilan emak
bila memerlukan air kopi
atau bila kemudiannya menemani ayah
menanam anak getah
atau membetulkan barisan tanaman ladanya.

Bagaikan membahaskan isu utama dunia di
Sudut Pidato
di situlah ayah akan bercerita tentang erti
sebuah tanah
tentang tanggungjawab penjagaan dan
pemeliharaannya
betapa kegunaannya bisa berubah mengikut
ketentuan dan keperluan masa
segalanya kitalah yang menentukan dan tanah
sedia menerima tanpa bicara.

Di situlah ayah sering mengingatkan
erti sebuah amanah
kitalah yang mencorakkan dan membentuk
tanah ini mengikut kesesuaiannya
dan sekiranya alpa, tanah ini akan kembali
semula menjadi milik alam semesta.

Sumber: Wajah Kita: Kumpulan Karya Peruulis SarawaK, Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2004.

Sunday, July 01, 2012

LATAR BELAKANG DATU DR. ADI BADIOZAMAN TUAH


DATU Dr. Adi Badiozaman Tuah mendapat pendidikan rendah di Tatau, Sarawak. Kemudian beliau melanjutkan pendidikan menengah di Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang, Miri. Pada tahun 1973 beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda dari Unversiti Malaya dan Diploma Pendidikan dan Sarjana Pendidikan dalam bidang Perkembangan Kurikulum pada 1979 di universiti yang sama. 
Beliau selanjutnya melanjutkan pengajian di United Kingdom dan mendapat ijazah Kedoktoran Pendidikan dari Universiti Bristol, UK pada 1996 dalam bidang Pengurusan Pendidikan. 

Sebelum menjadi Pengarah Maktab Perguruan Batu Lintang, beliau pernah menjadi Ketua Pengarah (Hal Ehwal Murid) di Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia, Ketua Sektor Pengurusan Perkhidmatan Pendidikan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyeliaan Sekolah dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kurikulum di Jabatan Pelajaran Sarawak, Pegawai Pendidikan Bahagian Sri Aman. Pernah menjadi guru Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, pensyarah Bahasa dan Pengajian Melayu di Maktab Perguruan Batu Lintang, Tutor Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Jawatan terakhir sebelum bersara pada Ogos 2007 ialah Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Sekarang beliau bertugas sebagai Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak dan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.

 Antara buku yang dihasilkan ialah Lagu Malam (1986) dan Puisi Buat Mama (1988). Selain itu, puisi-puisi beliau termuat dalam antologi bersama seperti Sayang Sarawak (1984), Puisi-Puisi Kenyalang 1 (1984), Nyanyian Wau (1987), Randau di Pulau (1987) dan Menganyam Kedukaan (1997). Puisi beliau berjudul Salam Buat Cikgu memenangi Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak pada 1991. Beliau pernah menerima Hadiah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak (1996) dan Hadiah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak bagi genre Skrip Drama (1997). Puisi beliau yang berjudul Pertemuan di Hyde Park memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2002/2003) kategori puisi (karya eceran).

Monday, May 07, 2012

Seloka, Teromba & Mentera

Seloka: Harun Mat Piah (1989) dalam kajiannya menyimpulkan ciri-ciri sebuah seloka seperti yang berikut:
i. Karangan berangkap yang memakai pertentangan bunyi rima hujung yang bebas.
ii. Perkataan sindiran, ejekan disampaikan dalam bentuk berangkap.
iii. Seloka selalunya mengandungi unsur-unsur jenaka atau gurau senda.

Teromba: Antara ciri-ciri teromba ialah:
i. Puisi bebas yang tidak tentu jumlah baris, rangkap, rima atau jumlah perkataan dalam satu baris.
ii. Terdapat sisipan pelbagai puisi yang lain, seperti pantun, gurindam, peribahasa dalam seuntaian teromba.
iii. Ia memuatkan perkara-perkara yang berkait dengan undang-undang; adat istiadat yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat.

Mantera: Istilah lain untuk mentera ialah jampi, serapah, sembur, puja, cuca, seru, kemat dan sebagainya. Ia merupakan susunan puisi bebas yang dapat digolongkan ke dalam bahasa berirama, sedangkan isinya merujuk kepada hal-hal magis, perubatan dan perbomohan.

Sunday, May 06, 2012

PANTUN




PENGENALAN
Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan, "Perkataan pantun itu pada mulanya dipakai orang dengan makna seperti atau umpama." Ada pendapat mengatakan perkataan pantun adalah daripada bahasa Minangkabau iaitu panuntun yang bermaksud pembimbing/penasihat yang berasaskan sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan petitih yang popular dalam masyarakat tersebut.
Sehingga hari ini, pantun sering digunakan dalam upacara peminangan dan perkahwinan atau sebagai pembuka atau penutup bicara dalam majlis-majlis rasmi.  Umumnya terdapat dua jenis utama pantun iaitu pantun berkait dan pantun tidak berkait.
Bilangan baris dalam setiap rangkap pantun dikenali sebagai kerat.  Lima bentuk utama pantun ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun dua belas kerat.  Pantun yang popular digunakan ialah pantun dua kerat dan empat kerat.
Setiap pantun mesti mempunyai pembayang dan maksud pantun.  Pembayang dalam setiap rangkap adalah separuh pertama daripada keseluruhan jumlah baris dalam rangkap berkenaan. Separuh kedua dalam setiap rangkap pantun pula ialah maksud atau isi pantun.
Antara ciri-ciri lain yang ada dalam sebuah pantun ialah pembayangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan alam dan persekitaran yang rapat dengan pengucapnya seperti yang terdapat dalam contoh pantun dua kerat berikut:
Sebab pulut santan terasa,
        Sebab mulut badan binasa.
 
Rima pantun yang baik berakhir dengan ab,ab bagi pantun empat kerat dan a,a bagi pantun dua kerat. Selain daripada pembayang, maksud dan rima, pantun juga terikat dengan hukum suku katanya. Bagi pantun Melayu, suku kata untuk setiap baris ialah antara lapan hingga dua belas suku kata sahaja.
Melalui bentuknya yang kemas dan padat, pantun berjaya menjadi alat yang penting untuk menghibur, memberi nasihat, menduga akal, meluahkan perasaan dan menyedapkan cakap. Pantun turut berfungsi sebagai media untuk menyampaikan hasrat yang seni atau rahsia yang tersembunyi melalui penyampaian yang berkias.

KANDUNGAN PANTUN MELAYU
Pembayang atau sampiran
Pembayang terletak pada bahagian setengah pertama setiap rangkap pantun. Pembayang memainkan peranan untuk memberi persamaan bunyi/rima kepada maksud. Pembayang pada baris pertama hendaklah ada hubung kait dengan pembayang pada baris berikutnya dalam setiap rangkap pantun.
Maksud atau isi
Maksud atau isi terdapat dalam setengah bahagian kedua dalam setiap rangkap pantun. Pada bahagian inilah tersurat dan tersiratnya apa yang hendak disampaikan dalam pantun tersebut(tema).
Perkataan
Pantun biasanya mengandungi empat atau tiga patah perkataan pada tiap-tiap baris. Pantun yang baik memaparkan bilangan perkataan pada tiap-tiap baris yang sama bilangannya.
Suku kata
Tiap-tiap patah perkataan terdiri daripada tiga atau empat suku kata. Dalam tiap-tiap baris pula hendaklah mengandungi antara lapan hingga dua belas suku kata. Pantun yang baik mengandungi jumlah suku kata yang sama banyak.
Rima atau bunyi
Rima ialah bunyi yang sama pada bahagian tengah atau akhir pada tiap-tiap baris pantun.  Rima yang baik mempunyai bunyi yang sama dalam setiap rangkap pantun.  Rima pada baris pertama pembayang mestilah sama dengan rima baris pertama maksud dan begitulah seterusnya Rima pantun yang terbaik ialah a,b,a,b dan ada juga berima a,a,a,a. 
Pantun di bawah mengandungi 4 patah perkataan dan 9 suku kata setiap baris.Contoh pantun yang baik :
Ba/ik/ ber/galas/ ba/ik/ ti/dak/,
 Bu/li/-bu/li/ ber/ta/li/ be/nang/,
 Ba/ik/ ber/ba/tas/ ba/ik/ ti/dak/,
 A/sal/ bu/di/ sa/ma/ di/ke/nang/.
CIRI-CIRI PANTUN YANG BAIK
Pantun yang baik ialah pantun empat kerat yang mempunyai ciri-ciri berikut:
  • mengandungi 4 kerat/baris
  • jumlah perkataan dalam sebaris antara 4-5 patah perkataan
  • jumlah suku kata sebaris antara 8-12 suku kata
  • ada hubungan antara pembayang (2 baris di atas) dan maksud (2 baris di bawah)
  • bunyi rima akhir seuntai pantun itu mestilah sama- a,b,a,b .
  • bahasa yang halus, penuh kiasan dan sindiran serta banyak menggunakan unsur alam.
  • maksud isinya sarat dengan pengajaran, moral dan falsafah hidup
  • sarat dengan ciri-ciri tradisional-penggunaan rangkap, ada pembayang dan maksud, mempunyai nilai hidup masyarakat yang menggambarkan perspektif masyarakat yang melahir dan menggunakannya.

SMK KUALA BESUT

SMK BUKIT PAYONG