Sunday, July 01, 2012

LATAR BELAKANG DATU DR. ADI BADIOZAMAN TUAH


DATU Dr. Adi Badiozaman Tuah mendapat pendidikan rendah di Tatau, Sarawak. Kemudian beliau melanjutkan pendidikan menengah di Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang, Miri. Pada tahun 1973 beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda dari Unversiti Malaya dan Diploma Pendidikan dan Sarjana Pendidikan dalam bidang Perkembangan Kurikulum pada 1979 di universiti yang sama. 
Beliau selanjutnya melanjutkan pengajian di United Kingdom dan mendapat ijazah Kedoktoran Pendidikan dari Universiti Bristol, UK pada 1996 dalam bidang Pengurusan Pendidikan. 

Sebelum menjadi Pengarah Maktab Perguruan Batu Lintang, beliau pernah menjadi Ketua Pengarah (Hal Ehwal Murid) di Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia, Ketua Sektor Pengurusan Perkhidmatan Pendidikan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyeliaan Sekolah dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kurikulum di Jabatan Pelajaran Sarawak, Pegawai Pendidikan Bahagian Sri Aman. Pernah menjadi guru Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, pensyarah Bahasa dan Pengajian Melayu di Maktab Perguruan Batu Lintang, Tutor Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Jawatan terakhir sebelum bersara pada Ogos 2007 ialah Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Sekarang beliau bertugas sebagai Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak dan Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka.

 Antara buku yang dihasilkan ialah Lagu Malam (1986) dan Puisi Buat Mama (1988). Selain itu, puisi-puisi beliau termuat dalam antologi bersama seperti Sayang Sarawak (1984), Puisi-Puisi Kenyalang 1 (1984), Nyanyian Wau (1987), Randau di Pulau (1987) dan Menganyam Kedukaan (1997). Puisi beliau berjudul Salam Buat Cikgu memenangi Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak pada 1991. Beliau pernah menerima Hadiah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak (1996) dan Hadiah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak bagi genre Skrip Drama (1997). Puisi beliau yang berjudul Pertemuan di Hyde Park memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2002/2003) kategori puisi (karya eceran).

No comments:

Post a Comment

SMK KUALA BESUT

SMK BUKIT PAYONG